PENGENALAN
Koperasi Bimbingan Insan Pahang Berhad (KOBI)
SEJARAH KOBI
Pada bulan Mei 1996, seramai 10 orang yang terdiri daripada kalangan usahawan, pegawai kerajaan dan pendidik telah bergabung idea dan tenaga dalam usaha untuk menubuhkan sebuah koperasi di Pahang. Hasilnya sebuah koperasi yang dikenali sebagai Koperasi Bimbingan Insan Berhad telah berjaya ditubuhkan setelah undang-undang kecil (UUK) KOBI telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Pertama.
Pada permulaan penubuhan Koperasi Bimbingan Insan Berhad, koperasi telah mempunyai anggota seramai 50 orang. Kini setelah 24 tahun beroperasi, koperasi ini telah mempunyai anggota seramai 349 orang. KOBI ditubuhkan dengan menjadikan sektor pendidikan dan perkhidmatan sebagai dasar penubuhan. Sebagai permulaan KOBI telah menubuhkan sebuah taska, tadika dan kelas fardhu ain (KAFA) di Temerloh dan seterusnya Sekolah Rendah Islam Ibnu Abbas di Kuantan.
Pada tahun 2009, Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah mengarahkan KOBI untuk menukar namanya dari Koperasi Bimbingan Insan Berhad kepada Koperasi Bimbingan Insan Pahang Berhad. Sehingga kini, prestasi Koperasi Bimbingan Insan Pahang Berhad telah mencatatkan peningkatan dalam setiap aspek contohnya, koperasi telah memiliki 2 buah bangunan perniagaan sebagai aset, 2 buah rumah teres dua tingkat corner lot untuk kegunaan KAFA dan 2 ladang kelapa sawit sebagai aset di Temerloh. Manakala di Kuantan KOBI ada Komplek bangunan di Permatang Badak Kuantan yang menempatkan beberapa bangunan Sekolah Rendah, Tadika dan Taska SeRIA dan juga Kantin. Perkhidmatan yang disediakan lebih dirasai oleh anggota dan masyarakat.
VISI
“Koperasi Muamalah Islamiyah terunggul di peringkat nasional ”
MISI
“Pengembelingan sumber modal dan insan anggota secara optima di dalam beraktiviti dan menyediakan keperluan anggota mengikut neraca Islam ”
MOTTO
Pendidikan terancang, anggota berkualiti, koperasi berbakti
FALSAFAH DAN MATLAMAT PENUBUHAN KOBI
Falsafah dan idea menubuhkan koperasi ini adalah merujuk kepada maksud dan intipati Firman Allah SWT dalam Al-Quran iaitu:
Maksud Firman Allah SWT :
“Wahai orang-orang Yang Beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang Yang beriman.“
(Al-Baqarah 2:278)
Maksud Firman Allah SWT :
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong- tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang Melanggar perintahNya).”
(Surah Al-Maaidah 5:2)
OBJEKTIF PENUBUHAN KOBI
- Menjalankan aktiviti pendidikan kepada Masyarakat
- Menjalankan kegiatan ekonomi berdasarkan syariat Islam
- Membina dan membangunkan ekonomi ummah melalui jamaah
- Menyelaraskan suasana pembelajaran yang kondusif untuk membangunkan peribadi Muslim khususnya kepada anggota dan umumnya kepada Masyarakat
- Menganjurkan anggota dan masyarakat Islam melakukan infaq dan tolong menolong sesama mereka
- Menyediakan program membantu anggota memperolehi barang-barang keperluan asas secara yang mudah dan halal
- Menjana dana yang ada untuk membantu institusi pendidikan KOBI disamping menyediakan bantuan untuk ahli dan masyarakat
- Mengadakan program pendidikan (tarbiyah) untuk membantu anggota memahami Fiqh Mu’amalat (Sistem Urusniaga Islam)
- Melahirkan usahawan Muslim yang bertaqwa, berakhlak mulia dan berwibawa
PERANAN KOBI
Pendidikan secara Formal
Koperasi Bimbingan Insan Pahang Berhad adalah koperasi yang menjalankan perkhidmatan pendidikan kepada masyarakat. KOBI telah menubuhkan institusi pendidikan sendiri yang terdiri daripada Sekolah Rendah, Taska, Tadika, dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Institusi pendidikan ini menekankan keseimbangan kecemerlangan dalam aspek akademik dan agama.
Projek Pendidikan KOBI termasuklah ;
- Sekolah Rendah Islam Ibnu Abbas ( SeRIA ) di Kuantan
- Kelas Al Quran dan Fardhu Ain , Al-Munawwarah di Temerloh
- Tadika Al-Munawwarah di Temerloh
- Taska Ibnu Abbas di Kuantan
- Tadika Cahaya Taqwa di Kuantan
Pendidikan tidak Formal
Koperasi Bimbingan Insan Pahang Berhad telah menyediakan pendidikan Islam secara tidak formal tetapi terancang kepada anggota dan kakitangan yang dilaksanakan pada setiap minggu dan bulanan.
Tujuannya adalah untuk melahirkan anggota dan kakitangan yang:
- Memahami Islam sebagai ad-Deen.
- Komited dengan ajaran Islam.
- Membentuk keperibadian Mukmin dan Mukminah.
- Memahami tujuan hidup.